Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan cabaran Tan Sri Shahrir Samad supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Johor menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada di negeri itu sebagai berniat jahat dan ‘bodoh’.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, veteran UMNO itu sememangnya mahu melihat apa yang berlaku di Melaka, berulang di Johor.
“Itu berniat jahat. Shahrir saya kenal. Dia nak supaya apa yang berlaku di Melaka, berlaku di Johor. Inilah pemimpin UMNO. Apa pemikiran dia. Dia macam di sini lah,” katanya pada sidang media di Bemban, Melaka hari ini.
Muhyiddin turut mengingat Shahrir supaya tidak mencabar dirinya kerana sebagai Presiden Bersatu, dia boleh membalas cabaran itu dengan mudah.
“Saya boleh buat. Sekarang saya boleh tekan butang. Semua jatuh. Anda mahu melihat itu berlaku?,” soalnya.
Menurut Muhyiddin, berbanding kuasa, pertimbangan utama dia dan partinya PN adalah nasib dan kepentingan rakyat.
“Saya tak takut. Kerana saya fikir yang penting rakyat di Johor jangan berhadapan dengan masalah sebesar yang berlaku di Melaka, ujarnya.
Terdahulu Shahrir mencabar Bersatu mengarahkan ADUN mereka di DUN Johor agar menarik sokongan mereka daripada Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad sebagai reaksi balas kepada ucapan Muhyiddin di Shah Alam malam tadi.
Tambah Muhyiddin lagi, tindakan Shahrir itu juga “bodoh” apabila meminta Bersatu menarik balik sokongan mereka daripada Menteri Besar Johor.
“Macam Shahrir bodoh, suruh Bersatu tarik (sokongan) dan Menteri Besar UMNO akan jatuh. Bijak ke bodoh?” tanyanya.
Kata Muhyiddin, krisis yang berlaku di Melaka berpunca daripada UMNO.
“Tengok apa yang UMNO buat di Melaka. Jahat. Kerajaan sudah ada dia sendiri tumbangkan kerajaan dia.
“Jadi kalau saya buat di Johor, macam Shahrir bodoh tu (minta maaf saya katakan) dia suruh Bersatu tarik supaya kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Hasni, Menteri Besar dari UMNO itu jatuh. Bijak ke bodoh,” soalnya
“Minta maaflah ya, saya kenal dia lama dah…” katanya.
Tambah Muhyiddin, dia dan Bersatu sengaja enggan bertindak balas dan enggan menjadi “bodoh” seperti dilakukan UMNO apa lagi ia melibatkan negerinya sendiri.
Katanya, jika Shahrir mahu mencabarnya juga, ia boleh dilakukan semasa pilihan raya akan datang.
“Janganlah cabar saya. Kalau nak cabar, esok, tunggu pilihan raya (umum) dan tengok rakyat akan sokong siapa.
“Saya fikir (tindakan Shahrir) itu sangat tidak bertanggungjawab. Patutnya rakyat Johor marah kepada Shahrir.
“Saya takkan buat pada Johor macam mana UMNO buat di Melaka,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.