PH berjanji macam nak kahwin dengan Puteri Gunung Ledang – Abdul Hadi

0
362

PENGUNDI di Melaka diingatkan supaya tidak lagi termakan dengan janji manis ditabur Pakatan Harapan (PH), yang disifatkan seperti cuba memenuhi syarat perkahwinan dengan Puteri Gunung Ledang. 

Perumpamaan sinis itu disuarakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahukan rakyat supaya berpijak di bumi nyata dalam memilih pemerintah yang bakal mentadbir Melaka. 

“Ketika PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), PH janji macam-macam. Macam nak kahwin dengan Puteri Gunung Ledang. Janji hapuskan tol, turunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam dan macam-macam lagi yang menyebabkan rakyat memilih mereka. 

“Tetapi janji tidak ditunaikan dan rakyat mengalami masalah. Nak salahkan siapa? Salahkan kita sebab salah mengundi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) yang disiarkan secara langsung melalui platform media sosial, malam tadi.

Program itu turut dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad.

Abdul Hadi berkata, pengalaman itu memberikan kesan pahit kepada rakyat termasuk rakyat Melaka yang kini sekali lagi peluang untuk memilih.

“Jangan salah memilih, buruk akibatnya. Jika pilih betul, banyak faedahnya. Dulu rakyat sudah memilih dan lihatlah apa yang berlaku. 

“Kali ini rakyat Melaka sekali lagi berpeluang untuk memilih,” katanya yang turut memberi ingatan kepada pengundi di Melaka melalui serangkap pantun. 

Buah salak buah kedondong

Kumpul semua dalam baldi

Bukan salah ibu mengandung

Tetapi salah pakah undi. 

Pada masa sama, Abdul Hadi turut mengajak rakyat menolak parti yang bersifat ekstrem sehingga mengganggu kestabilan serta kemakmuran yang dinikmati masyarakat majmuk selama ini. 

“(Ketika) Undi PH, kita terima hakikat BN (Barisan Nasional) lemah. Keluarlah kenyataan-kenyataan mengancam perpaduan rakyat yang hidup dalam keadaan rukun damai dan baik, dalam satu Keluarga Malaysia, di mana majoriti iaitu Melayu Islam menerima masyarakat majmuk pebagai agama. 

“Ketika merdeka, Perlembagaan Persekutuan digubar, Islam agama rasmi dan agama lain dibenarkan. Bahasa ibunda tidak dilarang, sedangkan ada negara lain yg melarang. Apabila PH menang, mereka nak rungkai perlembagaan itu, macam-macam kenyataan dibuat, yang mencabar perlembagaan itu, mencabar perpaduan kaum,” katanya. 

Atas tindakan itu katanya, PAS mengambil langkah secara demokrasi untuk bersama parti lain termasuk Bersatu dan membentuk PN. 

“Mereka jatuhkan kerajaan, kacau kerusi Parlimen. Bukan senang Tan Sri Muhyiddin nak letak jawatan, tetapi beliau sanggup sebab nak selamatkan negara. Selepas berlaku di persekutuan, kini berlaku pula di Melaka. 

“Ini semua satu cara yang tidak bermoral. Rakyat Melaka sendiri nampak ketika PH memerintah. Satu pembaharuan mesti dilakukan dan sebab itulah kita tolak pendekatan ekstrem. 

“Kalau rakyat Melaka nak lihat pembaharuan, pilihlah PN dalam PRN kali ini, “ katanya yang mengakhiri ucapan penutup dengan serangkap pantun. 

Atas runtuhan kota Melaka

Papan cengal kita tegakkan

Penipuan PH ke atas Melaka

Perikatan Nasional kita tegakkan.

  • SB 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here