Thailand rampas 210kg ‘ice’ dalam sofa untuk dihantar ke Malaysia

0
322

PIHAK berkuasa Thailand merampas 210 kilogram (kg) dadah jenis ‘ice’ atau kristal methamphetamine yang dijumpai disembunyikan di dalam sofa untuk dihantar ke Malaysia.

Setiausaha Agung Biro Pencegahan Narkotik (NCB) Wichai Chaimongkol berkata pegawai Seaport Interdiction Task Force (SITF) pada Isnin menjumpai 210 bungkusan uncang teh Cina yang disorok di dalam 19 sofa.

Bertindak atas maklumat, beliau berkata SITF mengadakan operasi bersama dan turut menahan seorang wanita rakyat Thailand berusia 26 tahun.

“Dadah itu dibungkus dalam 210 uncang teh Cina, setiap satu seberat satu kg dan disembunyikan dalam sembilan peti kayu kecil dan satu peti kayu besar yang mengandungi sofa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata suspek dipercayai akan menghantar dadah itu kepada sebuah syarikat logistik swasta dan kemudiannya dihantar ke Malaysia

Media tempatan melaporkan suspek mendakwa dia dibayar 35,000 baht (RM4,400) untuk menghantar sofa berkenaan.

Sementara itu, Wichai berkata pihak berkuasa telah merampas pelbagai jenis dadah melibatkan 68 kes sejak Januari tahun ini.

Beliau berkata dadah itu termasuk 204.14 kg kristal ‘meth’, 21.6 kg heroin, 10.02 kg ganja, 515 kg ketamin, 730gm kokain, 990 pil ekstasi dan 6,040 pil ‘meth’. — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here