PRN Melaka: Longgarkan sikit SOP kempen – Bakri

0
487

CALON Perikatan Nasional (PN) daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan sedikit prosedur operasi standard (SOP) kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Alasannya, sekurang-kurangnya SOP yang dikeluarkan itu dapat membenarkan calon bertanding bertemu mata dengan para pengundi di warung dan kedai kopi dengan pematuhan SOP.

“Saya rasa macam kaki tangan diikat untuk berkempen sebab apabila kita pergi ke kedai, warung pun kita tak boleh berkempen, cuma kita duduk minum sahaja.

“Apabila tidak boleh untuk berkomunikasi langsung (dengan pengundi), jadi saya rasa seolah mulut kita ditutup, tangan diikat kemudian diminta untuk berkempen,” katanya, memetik laporan ketika ditemui Harakahdaily, di Studio Jabatan Penerangan PAS, Melaka.

Menurut Ketua Penerangan PAS Perikatan Nasional (PN) Melaka itu, walaupun calon bertanding dibenarkan berkempen melalui media sosial, namun terdapat pengundi yang kurang bergantung maklumat kepada media sosial.

Selain itu kata Bakri, beliau juga bimbang sekiranya kempen melalui blasting di media sosial mengganggu privasi dan ketenteramam pengguna dan pengundi pula.

Disebabkan SOP kempen yang terlalu ketat, Bakri mencadangkan supaya satu pentas debat diadakan melalui media arus perdana untuk memberi peluang kepada pengundi menilai calon mereka.

“Sebab itu saya cadangkan sebelum ini supaya adakan pentas debat, bukan untuk tentukan siapa menang siapa kalah, tetapi untuk beri peluang kepada pimpinan parti muncul di kaca televisyen.

“Mereka boleh buat forum, panggil pemberita dan tanya kepada ketua parti ke mana hala tuju PRN Melaka dan sebagainya supaya pengundi mendapat maklumat yang betul, tepat,” katanya.

Kata Ketua Penerangan PAS Melaka itu, beliau yakin sekiranya pengundi mendapat maklumat yang betul, perkara itu akan mendorong pengundi membuat keputusan yang betul.  SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here