18 individu dikompaun RM60,000 akibat berkumpul ‘Main Puteri’ di Bachok

0
429

POLIS menahan dan mengenakan kompaun ke atas 18 individu termasuk empat wanita kerana berkumpul dalam acara “main puteri” di Kampung Sungai, Bachok, Kelantan, tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 63 tahun itu, dikompaun keseluruhan RM60,000 selepas arahan bersurai oleh polis tidak diendahkan. 

Katanya, anggota polis telah dihantar ke kampung itu pada pukul 12.30 tengah malam selepas menerima maklumat mengenai aktiviti “main puteri” (acara perubatan secara tradisional) dan  menasihatkan mereka yang berkumpul dianggarkan sekitar 100 orang supaya bersurai.

“Bagaimanapun, penduduk yang hadir tetap meneruskan aktiviti itu menyebabkan polis terpaksa ke lokasi kejadian sekali lagi pada pukul 2 pagi.

“Polis menahan 18 individu termasuk empat wanita, manakala selebihnya melarikan diri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darul Naim, hari ini.

Katanya, kesemua yang ditahan termasuk penganjur dikompaun antara RM2,000 hingga RM10,000 di bawah Peraturan 8 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit  (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang.

“Aktiviti seperti berkumpul beramai-ramai adalah tidak dibenarkan kerana bimbang penularan COVID-19 dan tindakan ini satu pengajaran kepada masyarakat memandangkan kes baharu wabak itu di Kelantan masih tidak konsisten,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here