Mas Ermieyati buat perhitungan di Tanjung Bidara

0
316

‘KERUSI panas’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.

Setakat ini, hanya tiga calon yang hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara sekaligus mengesahkan akan bertanding merebut kerusi itu tanpa calon bebas.

Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zainal Hassan paling awal tiba jam 8.08 pagi bersama seorang penyokong dan pencadang.

Ini diikuti calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang tiba di pekarangan dewan berkenaan jam 8.40 pagi, dengan ketibaannya diiringi bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Tepat jam 8.49 pagi, calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula tiba di pusat bersama penyokong dan pencadang.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka bakal membuat perhitungan ‘heavyweight’ dengan Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka.

Tepat jam 9 pagi tadi, pusat penamaan calon bagi DUN Tanjung Bidara itu dibuka bagi calon untuk menyerahkan borang pencalonan mereka.

Setakat jam 9.25 pagi ini, tiada kelibat calon lain termasuk dari Bebas dilihat memasuki pusat penamaan ini.

Petugas media juga dilarang memasuki dewan berkenaan dan kebenaran liputan hanya dihadkan di kawasan luar pagar serta pekarangan dewan.

Setakat ini, keadaan di sini dikawal ketat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Tanjung Bidara sebelum ini disandang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Md Rawi daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

DUN Tanjung Bidara juga antara kerusi panas yang ditandingkan dalam PRN kali ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here