31 projek fasiliti kesihatan di Kelantan diluluskan di bawah RMK12

0
478

SEBANYAK 31 projek pembangunan fasiliti kesihatan di Kelantan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM623 juta telah diluluskan di bawah Rolling Plan (RP) 1 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata projek-projek itu terdiri daripada 24 projek sambungan RMK11 dengan kos RM582 juta dan tujuh projek baharu dengan kos RM40.1 juta.

Beliau berkata, antara projek baharu yang diluluskan adalah projek menaik taraf asas bekalan air alternatif di sembilan Klinik Kesihatan Luar Bandar serta pembinaan Klinik Kesihatan Gantian (Jenis 3) di Bachok dengan kos RM35 juta.

“Kelulusan projek pembangunan fasiliti kesihatan ini menjadi bukti bahawa kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan rakyat Kelantan, ” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Penambang, Kota Bharu dan Klinik Kesihatan (Jenis 7) dengan Kuarters, Bahagia, Kuala Krai di Klinik Kesihatan Penambang, Kelantan, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Khairy berkata, projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Penambang, Kota Bharu itu telah diluluskan di bawah RP3, RMK10 dengan kos keseluruhan sebanyak RM24.874 juta.

Katanya, pembinaan projek itu bermula pada 11 Dis 2017 dan disiapkan sepenuhnya pada 28 April lepas.

“Projek Klinik Kesihatan (Jenis 7) Bahagia, Kuala Krai pula telah diluluskan di bawah RP1, RMK11 dengan kos keseluruhan sebanyak RM5.108 juta.

“Projek ini telah dimulakan pembinaannya pada 22 Januari 2019 dan telah disiapkan sepenuhnya pada 2 September 2021,” katanya.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here