[VIDEO] Hobi kami tak mahal – peminat pesawat kawalan jauh

0
1160

SECARA umumnya sejak daripada kecil, rata-rata daripada kita semua cukup minat dengan permainan kawalan jauh seperti kereta kawalan jauh, robot kawalan jauh, helikopter kawalan jauh dan berbagai lagi.

Namun ketika di usia muda, ramai yang tidak berkemampuan untuk memiliki permainan-permainan kawalan jauh ini dan hanya mampu menelan air liur sahaja melihat permainan-permainan itu dipamerkan di kedai.

Setelah meningkat dewasa, barulah ramai antara kita sudah mampu memiliki permainan kawalan jauh ini tidak kisah ingin bermain bersama rakan-rakan sebagai hobi atau membuat koleksi.

Orang ramai semestinya sudah biasa mendengar hobi kapal terbang kawalan jauh yang mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kembali menjadi trend setelah kerajaan memberi kelonggaran untuk beriadah setelah sekian lama ‘dikurung’ dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peminat kapal terbang kawalan jauh ini mula berkumpul kembali di tanah lapang bersama sahabat-sahabat yang berkongsi minat sama menerbangkan pesawat mereka.

Bagi salah seorang pengasas kepada Kelas Penerbangan Yeop, Omar Ali Syadiqeen, 36, hobi ini bermula daripada bapanya yang berkecimpung di dalam kapal terbang kawalan jauh terlebih dahulu.

“Pada masa itu saya masih tiada minat (dalam hobi ini), tetapi sewaktu saya sedang belajar di universiti dalam jurusan Kejuruteraan Aeronautik, saya banyak terlibat dalam projek yang memerlukan saya untuk terjebak dengan permainan ‘remote control’ ini sebab saya buat satu prototype.

“Sejak daripada situ saya mula minat dengan hobi ini dari zaman universiti sampai sekarang,” katanya.

Salah seorang pengasas kepada Kelas Penerbangan Yeop- Omar Ali Syadiqeen, 36


Omar yang sudah berkecimpung selama 14 tahun di dalam hobi ini turut dikenali sebagai Cikgu Omar kerana dirinya turut mengajar kenalan-kenalan yang mempunyai hobi yang sama untuk menerbangkan pesawat mereka secara percuma.

Umumnya, apabila bercakap mengenai permainan kapal terbang kawalan jauh, kita akan membayangkan kos yang besar sehingga mencecah ribuan ringgit untuk membeli kelengkapan permainan berkenaan.

Namun menurut Omar yang juga seorang pensyarah, kini, untuk mereka yang ingin berjinak-jinak dalam hobi ini boleh mendapatkan set penuh kapal terbang latihan pada harga serendah RM500 ke bawah.

“10 tahun dulu, bagi saya hobi ini sangat mahal sebab rata-rata zaman dulu kalau nak mula sahaja pun kita sudah melabur lebih kurang RM1,00 untuk kapal terbang latihan, tapi sekarang, RM500 pun sudah boleh dapat.

“Macam hobi yang lain, setelah dah mahir, baru kita akan upgrade kapal terbang. Jadi untuk ‘upgrade’, harganya bergantung kepada saiz, perkakas elektronik, jenama dan sebagainya. Untuk hobi ini buat masa sekarang, boleh bermula pada harga RM 500 sehingga puluhan ribu,” ujarnya.

Bagi Shafie Hassan, 42, dirinya menghabiskan masa yang banyak untuk mempelajari teknik-teknik menerbangkan kapal terbang kawalan jauh kerana ia disifatkan agak sukar berbanding dilihat dengan mata kasar.

“Seperti kita belajar di sekolah, kita kena rajin membaca. Sama juga dengan dunia penerbangan. Perkara itu seperti ‘flying hours’, jadi kita perlu rajin untuk terbang. Sebenarnya untuk mahir dalam hobi ini, ia memerlukan pergerakan otak kiri. Itu yang menjadikan saya lebih minat.

“Banyak ilmu penerbangan RC, ia sangat sama dengan dunia sebenar. Jadi, saya selalu buka YouTube untuk belajar semua yang berkaitan dengan dunia penerbangan. Alhamdulillah, sehingga hari ini saya masih belajar dan masih banyak jenis kapal terbang saya mahu belajar,” katanya.

Peminat pesawat kawalan jauh, Shafie Hasan, 42

Syafie turut menjelaskan kapal terbang kawalan jauh ini terdiri daripada pelbagai kategori iaitu ‘trainer’, ‘mid wing’ dan juga ‘low wing’.

“Kapal terbang ‘trainer’ adalah jenis kapal terbang kepak di atas. Saya sendiri lebih gemar untuk main kapal terbang kepak di atas kerana ia lebih mudah untuk dikendalikan berbanding yang lain sebab itu lah namanya ‘trainer’.

“Seterusnya ada ‘mid wing’ iaitu jenis kepak di tengah dan satu lagi ‘low wing’ (kepak di bawah) dan jenis ini sangat laju. Untuk menerbangkan ‘low wing’, memerlukan banyak ilmu dan pengalaman kerana ia sukar untuk dikendalikan,” ulasnya.

Katanya, langkah keselamatan sangat penting untuk diutamakan sebelum, ketika dan selepas menerbangkan pesawat.

“Kita biasanya bermain di tempat awam kerana buat masa sekarang masih lagi tiada tempat yang digazetkan untuk hobi ini. Apabila bermain di tempat awam, ramai yang datang tengok jadi kita kena selalu mengingatkan orang ramai untuk tidak duduk di landasan berlepas dan mendarat kerana kita tak mahu kapal kita boleh sebabkan kecederaan kepada orang ramai.

“Saya sendiri ada pengalaman buruk apabila jari saya terkena kipas pesawat yang bernadikan enjin sehingga perlu dijahit sebanyak 10 jahitan. Saya juga pernah dilanggar oleh pesawat sendiri di bahagian paha sampai tak boleh berjalan kerana terkena pembuluh darah. Jadi antara langkah keselamatan adalah dengan memakai sarung tangan, dan jangan bermain seorang diri,” tambahnya.

Bagi Syafie, dirinya bersetuju apabila hobi mereka dikatakan sebagai hobi yang mahal namun tetap menegaskan perkataan mahal itu sendiri adalah subjektif.

“Kita kena faham mahal itu apa? Bagi saya yang mahal adalah masa, Masa kita belajar untuk dapatkan ilmu penerbangan itu mahal kerana kita kena curi masa untuk belajar. Kalau orang tanya saya, memang betul ia mahal, tapi pada saya ia mahal pada masa,” ulasnya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here