Bapa, anak menagih dadah dicekup

0
439

SEORANG penagih dadah ditahan bersama-sama anaknya dalam serbuan Op Jihad Dadah di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Petaling Jaya, tengah malam tadi.

Serbuan pukul 12 tengah malam itu menahan lelaki berusia 38 tahun bersama-sama anak lelakinya yang berusia 17 tahun.

Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai sempat membuang serbuk disyaki dadah.

Lelaki tersebut meronta-ronta dan meraung semasa hendak ditahan anggota serbuan memaksa isterinya yang turut berada dalam rumah membuat keputusan untuk pergi ke balai supaya suaminya memberi kerjasama kepada pihak polis.

Difahamkan, lelaki terbabit dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun itu pernah ditahan di kediaman tersebut sebelum ini atas kesalahan sama malah kes berkenaan masih di peringkat perbicaraan di mahkamah namun kedua-dua mereka masih tidak serik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Fakhruddin Abdul Hamid berkata, Op Jihad Dadah merupakan yang pertama kali seumpamanya diadakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Jihad dadah ini bertujuan menangkap pengedar dan penagih dadah yang bergiat aktif di dalam daerah Petaling Jaya dan menyekat kemunculan penagih baharu serta memberi pendidikan dan kesedaran kepada kumpulan sasaran.

“Kawasan Lembah Subang dipilih kerana terdapat banyak aduan yang diterima berkaitan dengan masalah penagihan dadah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Petaling Jaya, malam tadi.

Mohd. Fakhruddin memberitahu, pihaknya berjaya merampas syabu (81.03 gram), heroin (21.07 gram), ganja (0.30 gram) dan air ketum (10 liter) di Lembah Subang sejak Januari hingga Oktober 2021.

Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya turut mencatatkan sebanyak 59 tangkapan melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam tempoh sama di sini.

Op Jihad Dadah itu melibatkan 123 orang pegawai kanan dan anggota polis dari bahagian dan cawangan serta balai-balai di bawah Petaling Jaya.

Operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melibatkan anggota dari kedua-dua agensi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here