[VIDEO] Makan sambil layan banjir semakin popular di Thailand

0
316

PENGGEMAR makanan berpusu-pusu berkunjung ke Chaopraya Antique Cafe di Nonthaburi, sebuah restoran di utara Bangkok, untuk merasai sendiri pengalaman dan keunikan menikmati juadah di dalam suasana ruang makan terbuka yang digenangi air banjir.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Tempat percutian ala-ala Switzerland di Denai Kabus

Restoran tepi sungai itu, yang diubah suai daripada rumah kayu dua tingkat, telah dinaiki air selama berminggu-minggu berikutan hujan lebat yang dicetuskan ribut tropika, hujan monsun dan air pasang.

Uniknya, ia menawarkan pengalaman luar biasa kerana pengunjung perlu meredah air untuk ke meja makan. 

Sambil kaki terendam di dalam air, mereka duduk di atas bangku dan menikmati keseronokan menjamu selera dengan berlatar belakangkan Sungai Chao Praya.

Sesekali, apabila bot penumpang melewati berhampiran tempat makan, pengunjung terpaksa berdiri bagi mengelak terkena ombak kecil dan percikan air akibat laluan bot tadi.

Restoran ini menawarkan makan tengah hari dari 11 pagi hingga 2 petang manakala “mu kratha” masakan Thailand yang menggabungkan barbeku Korea dan periuk panas Cina bermula dari 3 petang. Ia boleh memuatkan sehingga 40 pengunjung pada satu-satu masa.

Sejak video dan berita mengenai restoran itu tular di media sosial, pengunjung perlu membuat tempahan kerana ia sentiasa penuh terutama ketika hujung minggu dan cuti.

Pengurus Chaopraya Antique Café, Jintana Jutimanon, berkata restoran itu dibuka pada Februari tahun ini tetapi terpaksa ditutup apabila kerajaan melaksanakan larangan perkhidmatan makan di resoran bermula Mei untuk membendung penularan COVID-19.

Apabila sekatan dikurangkan, berlaku pula ribut tropika dan hujan lebat menyebabkan paras air meningkat dan restoran itu ditenggelami air sejak 20 Sept.

“Kami memutuskan untuk terus beroperasi walaupun banjir. Anehnya, pelanggan yang datang sangat gembira dan menikmati pengalaman makan dalam suasana yang unik dan menyeronokkan ini. Berita tersebar melalui mulut ke mulut, ia menjadi tempat makan yang popular.

“Kami sangat gembira melihat pelanggan menyukai suasana dan percikan air, sambil menikmati barbeku yang dibakar di atas meja yang terendam di dalam air,” katanya kepada Bernama.

Namun, pengunjung juga mempunyai pilihan jika mahu menjamu selera seperti biasa di tingkat dua restoran sambil menikmati pemandangan Sungai Chao Phraya.

Menurut Jintana, restoran itu turut mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pengunjung, seperti melakukan amalan pembersihan yang diperlukan di restoran.

“Kami gembira pelanggan menyukai pengalaman unik ini dan kami juga gembira menukar halangan menjadi peluang yang tidak kami jangkakan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here