Rakyat Melaka tak perlu mengundi DUN pada PRU-15: Adly

0
294

RAKYAT di Melaka tidak perlu memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang kerana sudah melaksanakan tanggungjawab itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, berkata ini kerana masih ada anggota komuniti di negeri ini belum memahami sepenuhnya perbezaan antara PRN dan PRU.

“Pada 20 November nanti, akan diadakan PRN dan pengundi di Melaka perlu memilih siapakah yang akan menjadi ADUN untuk penggal 2021-2026.

Tahun depan mungkin diadakan PRU dan pengundi negeri ini hanya boleh memilih siapakah yang akan menjadi Ahli Parlimen untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat bagi penggal 2022-2027.

“Sehubungan itu, secara mudah PRN adalah untuk menentukan siapa yang bakal berkuasa di negeri ini, manakala PRU pula menentukan siapa yang bakal menerajui Kerajaan Persekutuan, katanya dalam Facebook hari ini.

Pada PRU-15 yang akan diadakan sama ada tahun hadapan atau 2023, hanya pemilihan peringkat Ahli Parlimen akan diadakan dan peluang itu harus direbut pengundi untuk memilih pemimpin di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Selain 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), Melaka mempunyai enam Parlimen, iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Jasin.

PRN diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat bekas ADUN menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyebabkan kerajaan Barisan Nasional/Perikatan Nasional (BN/PN) tumbang.

Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Pada PRU-14, BN bertanding di semua 28 kerusi DUN, tetapi hanya menang 13 kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenangi pada PRU-13. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here