Kes bunuh Zulfarhan – nasib 18 penuntut UPNM ditentukan hari ini

0
384

NASIB 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain akan diketahui hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah dijangka membacakan keputusan di akhir kes pembelaan pada 10 pagi ini, sama ada mereka didapati bersalah atas pertuduhan itu atau dibebaskan.

Pada 8 April lepas, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 18 penuntut UPNM dan dua saksi lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM Muhammad Alif Farhan Aerosni pada prosiding membela diri yang bermula 2 Oktober 2019.

Pendakwaan telah mengemukakan 31 orang saksi termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad serta dua saksi yang melihat perbuatan menekap seterika wap ke badan mangsa iaitu Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah, kedua-duanya penuntut UPNM, pada perbicaraan yang bermula 29 Jan 2018.

Kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Datuk Ranjit Singh Dhillon, Amer Hamzah Arshad, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim, Datuk Seri M Ramachelvam dan Datuk Hazizah Kassim.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here