Maut ditetak akibat pergaduhan kerana kehilangan telefon bimbit

0
199

HANYA kerana pergaduhan dipercayai akibat kehilangan telefon bimbit, seorang lelaki maut ditetak selepas bergaduh dengan rakan serumahnya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pak Abu, Kampung Telaga Air, Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.

Mangsa lelaki berusia 30 tahun itu maut selepas mengalami kecedaraan parah pada bahagian jari dan betis dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, seorang saksi yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian mendakwa terdengar pertengkaran mulut dari rumah yang disewa bersama-sama mangsa dan rakan serumahnya itu.

“Saksi itu turut mendakwa melihat mangsa telah dibawa ke pondok di hadapan rumah mereka oleh dua lagi rakan sebelum menghubungi ambulan untuk membawa mangsa ke hospital berikutan mengalami kecederaan parah akibat ditetak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagaimanapun disahkan meninggal dunia pukul 9.17 malam ketika menerima rawatan.

Ekoran kejadian itu tambah Noorzainy, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di kawasan Mak Mandin pukul 9 pagi ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam pertengkaran mulut dan pergelutan dengan mangsa.

“Lelaki itu mendakwa memukul rakannya dengan buah kelapa di kepala sebelum mangsa terus berlari keluar rumah dan datang semula dengan sebilah parang serta cuba menetaknya.

“Bagaimanapun dia merampas parang daripada tangan rakannya sebelum rakannya itu terjatuh dan suspek terus menetak suspek mengenai tangan kiri,” katanya.

Tambahnya, polis kini sedang mengesan senjata yang digunakan lelaki itu dalam kejadian tersebut dan kes di siasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal darah mendapati mangsa positif dadah selain mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Jelasnya, suspek turut didapati positif dadah dan mempunyai 22 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here