Lelaki tikam isteri hingga parah di belakang gereja

0
291

SEORANG lelaki menikam isterinya hingga parah dalam kejadian di belakang gereja St Mark Batu Kawa, Kuching, malam semalam.

Wanita itu, 35, beberapa kali ditikam dengan senjata tajam pada pukul 7.30 malam dan cedera di belakang badan, luka di kepala dan leher.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa sebelum itu meminta izin ibunya untuk keluar dari rumah di Taman Desa Wira, Kuching bagi bertemu suspek, 35, di lokasi kejadian.

“Mangsa dan suaminya difahamkan dalam proses perceraian dan mereka tidak tinggal bersama.

“Tidak lama kemudian ibu mangsa menerima panggilan daripada orang awam mengatakan anak perempuannya mengalami kecederaan teruk akibat ditikam menggunakan objek tajam.

“Mangsa yang ditemui oleh orang awam berlumuran darah di lokasi kejadian lalu dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berikutan itu polis mengesan suspek dikenali sebagai Aloysius Sinlair Aden beralamat di Kampung Apar Singai, Bau untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di talian 082-862233.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here