Padah 8 kanak-kanak tunggang basikal lajak secara berbahaya

0
374

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TINDAKAN sekumpulan kanak-kanak menunggang basikal lajak secara berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan dalam satu operasi khas di Johor Bahru utara pada 15 dan 16 Oktober lalu.

Menerusi operasi khas basikal lajak yang dilakukan di dua lokasi berbeza di daerah itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Utara menahan lapan penunggang basikal lajak berusia 10 hingga 15 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, mereka ditahan selepas disyaki menunggang dengan aksi berbahaya secara berkumpulan di dua lokasi berbeza tersebut.

Pihaknya turut melakukan sitaaan dua motosikal yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Pemeriksaan mendapati banyak basikal telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi basikal yang selamat untuk ditunggang.

“Semua penunggang dan basikal masing-masing dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, soal siasat mendapati seorang daripada mereka yang merupakan remaja berusia 15 tahun berperasanan sebagai mekanik basikal lajak.

“Ramai rakan basikal lajak yang datang ke rumahnya untuk membaiki dan menukar alat ganti daripadanya. Hasil pemeriksaan di rumahnya juga menemui komponen-komponen basikal lajak,” katanya.

Beliau berkata, semua penjaga dan ibu bapa kepada semua yang ditahan sudah dipanggil serta diberi penerangan mengenai bahaya basikal lajak dan kesan kepada penunggang sekiranya berlaku kemalangan.

“Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak menunggang basikal lajak di jalan raya,” katanya.

Menerusi operasi itu katanya, lapan basikal lajak dirampas untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987 dan penunggang basikal pula disaman mengikut 42(1) (A) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubah suai basikal.

Selain itu katanya, dua saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal mengikut Sekysen 26 (1) APJ 1987 kerana tiada lesen memandu dan dua buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1957.

Ini termasuk juga satu saman di bawah Kaedah 4 Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 kerana tidak memakai topi keledar, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here