Bayi perempuan baru lahir ditinggalkan dalam kotak

0
1262

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TERGAMAK tinggalkan bayi perempuan dalam kotak perlindungan bayi ‘baby hatch’ Orphancare Johor Bahru, Johor Bahru pada 26 September lalu.

Bayi yang baru beberapa hari dilahirkan itu bagaimanapun sempat diselamatkan orang ramai dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Pegawai JKM Johor Bahru, Adnan Md Yassin, kelengkapan bayi termasuk pakaian dan susu bayi turut diletakkan bersebelahan bayi dalam kotak berkenaan.

“Bagaimanapun tiada sebarang dokumen berkaitan ibu kandung bayi ditemui dan kakitangan bertugas di Orphancare membuat laporan polis pada 27 September lalu.

“Bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini tiada sebarang tuntutan dilakukan terhadap bayi itu yang kini berusia lebih tiga minggu dan dinamakan sebagai Darren. 

Katanya, bayi berkenaan kini dalam keadaan sihat dan beberapa keluarga menunjukkan minat untuk menjadikannya sebagai anak angkat.

“Bagaimanapun JKM masih mempertimbangkan kesesuaian kedua-dua keluarga berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“JKM berharap waris bayi berkenaan tampil bagi membincangkan masa depannya,” katanya lagi.

Bagi maklumat lanjut boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak JKM, Zaid Ikhwan Lim di 07-2232606/07-2232607/01111-7535394.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here