Bomba selamatkan lelaki sesak nafas, melecur dalam kebakaran

0
279

SEORANG lelaki terselamat selepas mengalami sesak nafas dalam rumahnya yang terbakar di Taman Desa Karunmas, Kajang hari ini.

Lelaki tersebut yang terperangkap dalam rumah itu tidak mampu menyelamatkan diri sebelum pihak bomba datang menyelamatkannya.

Tindakan pantas pihak bomba selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.23 pagi berjaya menyelamatkan mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di bahagian ruang tamu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, ketika mereka tiba, kebakaran itu sudah dipadamkan.

“Dalam kejadian itu, terdapat dua mangsa lelaki, masing-masing berusia 50-an. Seorang daripada mereka ditemui di dalam bilik tidur di tingkat satu rumah berkenaan.

“Ketika ditemui, lelaki itu mengalami sesak nafas serta sedikit melecur di bahagian kaki. Seorang lagi mangsa pula berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here