KPM kaji benarkan pelajar Tingkatan Lima ke sekolah tanpa giliran

0
438

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mempertimbangkan untuk membolehkan pelajar Tingkatan Lima mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah tanpa penggiliran.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata untuk tujuan itu, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) daripada segi kadar vaksinasi dalam kalangan pelajar berkenaan.

“Seperti kita tahu, pelajar sudah mula masuk ke sekolah dan prosedur operasi standard (SOP) juga didapati dilaksanakan dengan baik, namun ada kumpulan pelajar yang mungkin tidak akan adakan penggiliran.

“Dalam hal ini, mungkin kita (KPM) akan adakan bagi pelajar kelas peperiksaan terlebih dulu seperti yang kita laksanakan terhadap pelajar yang menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua tempoh hari.

Namun, memandangkan jumlah yang terbabit agak besar, kita sedang berbincang dengan KKM untuk melihat apakah kadar vaksinasi yang membolehkan pelajar Tingkatan Lima boleh dibawa masuk tanpa penggiliran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun, sempena pembukaan sekolah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah KPM, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, setakat ini, lebih 97 peratus pelajar Tingkatan Lima di seluruh negara sudah menerima suntikan dos pertama COVID-19, manakala mereka yang sudah melengkapkan kedua-dua dos sekitar 50 peratus.

“Jadi, kita sedang memantau keadaan vaksinasi pelajar kelas peperiksaan ini. Jika sudah sampai ke tahap tertentu dan dirasakan sesuai untuk membawa mereka balik tanpa penggiliran, maka kita akan laksanakannya,” katanya.

Mengenai kehadiran pelajar Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau berkata, pelajar baharu yang hadir bagi Kumpulan B hari ini membabitkan Negeri Sembilan dan Labuan serta Langkawi, Kedah, semalam.

“Ia membabitkan kalangan pelajar dari Tingkatan Tiga dan Empat di sekolah menengah (SM), manakala murid Tahun Satu, Dua dan Tiga, bagi SK,” katanya.

Radzi berkata, secara keseluruhannya, jumlah kehadiran pelajar ke sekolah memuaskan, dengan 340,000 pelajar direkodkan hadir ke sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, ia satu proses kemasukan berperingkat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik.

“Jika ada keperluan, kementerian akan melakukan penambahbaikan terhadap SOP sebelum kumpulan berikutnya mula memasuki sekolah,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here