Polis buru tujuh penunggang motosikal buat aksi bahaya di lebuh raya

0
280

AKSI tujuh lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Port Dickson hingga tular dalam Facebook hari ini membawa padah apabila diburu polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, video tersebut memaparkan aksi sekumpulan penunggang motosikal seramai tujuh orang yang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan dan bersaing sesama sendiri.

“Mereka juga membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan pihak lain.

“Kejadian ini dipercayai berlaku pada Ahad antara jam 2 dan 3 petang di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.dari Kilometer 14 hingga 16 arah Port Dickson ke Seremban,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis sedang mengesan kesemua penunggang motosikal itu bagi siasatan lanjut serta siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu atau menunggang kenderaan secara melulu dan berbahaya.

“Jika sabit kesalahan, pesalah akan dikenakan tindakan penjara tidak kurang lima tahun dan denda antara RM5,000-15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu melebihi lima tahun.

“Orang awam boleh menyalurkan segala maklumat ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson atau menghubungi talian terus di 06-6472222,” katanya.

Hari ini, sebuah video berdurasi lebih kurang satu minit tular di media sosial Facebook dengan memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara merbahaya.

Tindakan tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya melahirkan kebimbangan kerana perbuatan tersebut boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here