Lelaki tidak berpakaian pegang parang mengamuk tengah jalan

0
306

SEORANG lelaki bersenjatakan parang mengamuk di tengah jalan lama Temerloh-Maran berhampiran Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, hari ini dan membimbangkan pengguna jalan raya.

Tindakan lelaki yang tidak berpakaian pukul 11 pagi itu turut menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga kira-kira tiga kilometer.

Seorang pengguna jalan raya berkenaan, Khaidir Ahmad, 59, memberitahu, ketika kejadian, dia sedang menghala ke Batu 4 di sini atas urusan kerja.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia terkejut apabila melihat deretan kenderaan yang berhenti hingga menyebabkan kesesakan jalan.

“Lelaki yang tidak berpakaian itu dilihat mengacukan parang kepada kenderaan yang lalu-lalang namun saya memberanikan diri dan redah sahaja melaluinya, namun ada juga yang berpatah balik, syukur tidak berlaku apa-apa,” katanya seperti Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, kejadian berkenaan tidak menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kejadian itu termasuk sekiranya suspek mempunyai masalah mental.

“Setakat ini tiada individu yang tampil membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan termasuk melakukan ujian urin terhadap suspek,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here