Tiga kanak-kanak antara 12 PATI diusir dari Sarawak

0
248

SERAMAI 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir keluar dari Sarawak selepas cuba masuk melalui lorong tikus di kawasan Tebedu hari ini.

Dalam kejadian sekitar 5.30 pagi itu, semua PATI berjalan kaki memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kehadiran mereka dikesan sepasukan anggota yang sedang melaksanakan serkap.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, lima individu lelaki berusia antara 35 hingga 45 tahun, empat individu wanita berusia antara 34 hingga 39 tahun bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia antara empat hingga 14 tahun disahkan sebagai PATI.

“Ini kerana mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah selain menggunakan laluan haram untuk masuk mencari pekerjaan.

“Kesemua PATI diusir dan laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Jelas pasukan 1 Div lagi, impak pandemik Covid-19 menyebabkan kes-kes melibatkan PATI cuba memasuki Sarawak untuk mencari pekerjaan dilihat semakin meningkat.

Pelbagai taktik dan kaedah digunakan PATI yang cuba masuk ke Malaysia termasuk cubaan menyelinap di awal pagi, namun berjaya digagalkan, jelas kenyataan itu lagi.

1 Divisyen menambah, Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak-Kalimantan Barat akan terus kekal siaga dalam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here