Empat lori bawa muatan kayu tanpa kebenaran ditahan

0
449

JABATAN Perhutanan Terengganu menahan empat lori yang dalam keadaan mencurigakan membawa muatan penuh di Kampung Telaga, Hulu Terengganu, Rabu lalu.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, apabila ditahan, pemeriksaan mendapati membawa kayu serta kayu jaras pelbagai saiz dan spesies dengan anggaran RM20,000 tanpa kebenaran

Katanya, semasa pemantauan dilakukan, didapati kesemua kenderaan berat itu membawa muatan penuh kayu dan kayu jaras pelbagai saiz dan disyaki dalam perjalanan membawa hasil hutan berkenaan ke sebuah kilang papan berhampiran.

“Pemeriksaan seterusnya, mendapati kesemua pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Roslan berkata, kes disiasat mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu mengikut peruntukan Seksyen 68 (1) di mana terdapat hasil hutan dalam milikannya atau kawalannya tanpa memiliki pas bagi pemindahan hasil hutan.

“Jika disabitkan kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here