2 lelaki pukul gelandangan, peminta sedekah di Komtar ditahan

0
33

POLIS menahan dua penyelia pembersihan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown, Pulau Pinang kelmarin selepas didapati memukul dua lelaki termasuk gelendangan.

Lebih mengejutkan, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek warga tempatan berusia 27 dan 43 tahun itu difahamkan sering memukul peminta sedekah atau gelandangan yang berada di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek ditahan pukul 9 malam di hadapan sebuah bank di Komtar oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) dari ibu pejabat Polis Timur Laut.

Menurut beliau, turut dirampas bersama-sama suspek dua batang rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

“Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

“Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, Soffian berkata, polis menerima laporan daripada salah seorang mangsa pukul 7 malam pada hari sama.

Katanya, mangsa sempat merakam menggunakan telefon bimbitnya tindakan dua lelaki sedang memukul seorang peminta sedekah menggunakan rotan pukul 2 petang pada Oktober lalu di hadapan sebuah bank di Komtar.

“Mangsa mendakwa dia turut dipukul dua lelaki tersebut selepas mereka menyedari mangsa merakam perbuatan mereka.

“Mangsa dipukul berkali-kali sehingga mengalami lebam di belakang badan, siku kanan dan betis kiri sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Soffian turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang hingga mendatangkan mudarat kepada orang lain.

Katanya, orang awam perlu mengambil pendekatan yang lebih bijak dan mengikut lunas undang-undang dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Terdahulu, tiga video masing-masing berdurasi dua minit; 20 saat dan 45 saat yang memaparkan dakwaan seorang lelaki telah dipukul oleh beberapa individu di tempat awam tular di dalam media sosial sehingga mencetuskan kemarahan awam.

Difahamkan, suspek bertindak demikian selepas mendakwa gelendangan dan peminta sedekah di kawasan Komtar sering membuat kotor. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here