Jumlah pengangguran turun 4.6 peratus

0
28

JUMLAH pengangguran berkurang kepada 748,000 pada Ogos 2021 dengan kadar pengangguran turun kepada 4.6 peratus susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kembali, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus dengan merekodkan sebanyak 15.38 juta orang pada Ogos berbanding 15.29 juta pada Julai dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus.

Menurutnya, kadar pengangguran pada Ogos 2021 menurun 0.2 mata peratus kepada 4.6 peratus berbanding bulan Julai yang merekodkan 4.8 peratus.

“Ini merupakan penurunan pengangguran yang pertama setelah merekodkan peningkatan pada bulan Jun dan Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bilangan tenaga buruh terus meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 16.13 juta orang pada Ogos berbanding 16.07 juta pada Julai 2021 selain kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada tempoh sama turut meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 68.4 peratus.

“Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan perubahan positif bulan ke bulan terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; dan kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.

“Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga merekodkan pertumbuhan positif setelah mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya manakala sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian kekal dalam trend menurun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, daripada segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.4 peratus, meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 11.90 juta orang setelah mencatatkan penurunan bagi tempoh dua bulan sebelumnya.

“Penduduk bekerja sendiri terus meningkat sejak Februari 2021 dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 1.4 peratus merekodkan 2.54 juta orang,” katanya.

Jelas Mohd. Uzir, pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi pada Ogos mendorong bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu terus menurun sebanyak 13.5 peratus kepada 671,200 orang berbanding 776,300 orang pada Julai.

“Penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.3 peratus daripada jumlah penganggur. Kumpulan ini menurun sebanyak 3.7 peratus kepada 627,500 orang berbanding 651,300 orang pada Julai.

“Daripada jumlah penganggur yang aktif, 53.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi sembilan peratus.

“Trend yang sama juga dilihat pada penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia telah berkurang sebanyak 4.4 peratus dari bulan ke bulan kepada 121,300 orang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here