Pelakon, pengarah direman 2 hari kes dadah

0
298

PENGARAH filem, penolongnya, serta pelakon yang ditahan selepas disyaki terbabit penyalahgunaan dadah di Kuala Kangsar dekat sini semalam, direman dua hari bermula hari ini.

Pelakon lelaki berusia 28 tahun itu serta pengarah dan penolongnya masing-masing berusia 49 dan 46 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata semua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dalam serbuan 7.15 pagi semalam.

Ketika ditahan ketiga-tiga suspek berada di sebuah rumah di Taman Chandan Putri 2, di Kuala Kangsar dan pemeriksaan menjumpai bahan disyaki ganja dianggarkan seberat 1.45 gram selain syabu dianggarkan seberat 0.38 gram dengan nilai rampasan dadah RM270.

“Turut dirampas botol plastik yang diubah suai untuk kegunaan menghisap dadah. Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara dan denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah tetra hydrocannibol (TCH), methamphetamine dan amphetamine.

“Seorang daripada suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau masing-masing bersabit jenayah dan dadah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pelakon lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, semalam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here