MALAYSIA memutuskan untuk tidak akan mengguna pakai pendekatan yang diguna pakai Australia berhubung Skim Visa Buruh Ladang dalam sektor pertanian kerana ia menjurus kepada penawaran sebagai penduduk tetap, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, Malaysia telah dimaklumkan mengenai pengenalan skim berkenaan oleh kerajaan Australia semasa kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr. Justin Lee ke atas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, pada 7 September lepas.
“Oleh sebab itu, kerajaan memperkenalkan program Malaysianisation (Malaysianisasi) bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Nuridah Mohd. Salleh yang ingin tahu mengenai sejauh mana perbincangan antara Malaysia dan Australia mengenai Skim Pekerja Sektor Perladangan.
Awang berkata, melalui program Malaysianisasi, pekerja layak menerima insentif tambahan sebanyak RM500 atau 20 peratus daripada gaji bulanan.
“Sebagai contoh, sekiranya tawaran gaji adalah RM1,500, pekerja akan diberi insentif RM500 menjadikan jumlah gaji kasar sebanyak RM2,000. Had kelayakan insentif ini telah ditetapkan kepada pemberian gaji pekerja pada paras minimum RM1,500 bagi majikan yang menyertai program ini,” katanya.
Awang berkata, Australia memperkenalkan Skim Visa Buruh Ladang untuk menangani kekurangan pekerja sektor pertanian dan perladangan yang kurang mendapat sambutan daripada pekerja tempatan dan skim itu dijangka memberi peluang pekerjaan kepada pekerja migran untuk bekerja selama tiga tahun dalam sektor berkenaan di Australia.
“Australia dan Malaysia menghadapi masalah sama iaitu kekurangan guna tenaga dalam sektor perladangan di negara masing-masing serta kebergantungan yang tinggi terhadap guna tenaga asing dalam sektor tersebut.
“Senario di Australia dan Malaysia agak mirip dengan sektor perladangan yang rata-ratanya melibatkan kerja 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar (dangerous, dirty, difficult) menyebabkan ramai pekerja tempatan tidak berminat untuk menceburkan diri dalam sektor tersebut,” katanya. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.