4,471 kes kanak-kanak hilang-Timbalan Menteri

0
501

Sebanyak 4,471 kes kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2017 hingga 1 September tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah tersebut, 4,399 orang kanak-kanak telah dijumpai semula manakala 72 orang lagi masih hilang.

Bagi kes orang hilang berumur 18 tahun dan ke atas pula, beliau berkata, sebanyak 6,074 kes dilaporkan dalam tempoh sama dengan 4,871 orang telah dijumpai semula manakala 1,203 orang masih hilang.

“Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini ialah dengan mewujudkan Portal Kanak-kanak Hilang. Maklumat berkenaan dipaparkan di portal https://knk2hilang.rmp.gov.my yang boleh diakses oleh orang awam.

“Portal ini memberi peluang kepada masyarakat untuk bekerjasama mengesan kanak-kanak yang hilang dengan lebih cepat dan berkesan dengan menyalurkan maklumat yang terkini melalui Internet,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Ismail menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang ingin tahu mengenai statistik bilangan kes kehilangan orang dan kanak-kanak yang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun sebelum ini termasuk bilangan orang telah ditemui dan masih belum ditemui serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah itu.

Beliau berkata, PDRM juga menjalin kerjasama dengan 40 agensi lain melalui NUR Alert iaitu sistem amaran awal bagi kes kehilangan kanak-kanak untuk membantu agensi penguatkuasa undang-undang dalam menjalankan siasatan dan membawa kepada tangkapan yang pantas.

“PDRM turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam penganjuran program-program kesedaran untuk mengelakkan kes ini daripada berulang. Kempen Kesedaran Kanak-kanak atau Child Awareness Campaign (CAC) bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa kanak-kanak mudah terdedah menjadi mangsa dan adalah penting untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here