[VIDEO] Penolakan kerjasama UMNO-Bersatu hanya pandangan peribadi: Ahmad Faizal

0
291

SEJAK Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu, beberapa pemimpin UMNO melaungkan pendirian berbeza mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri berkenaan.

Belum ada sebarang kata putus sama ada UMNO akan meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) atau bergerak secara solo berdepan PRN Melaka.

Sedangkan, PN yang turut dibarisi Bersatu dan PAS secara jelas menegaskan, mereka sedia bekerjasama dengan sesiapa saja.

Rabu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam usaha untuk kembali berkuasa di negeri Hang Tuah itu.

Bagaimanapun, berlaku percanggahan pendapat kerana ada yang mendakwa itu keputusan individu Zahid, bukannya hasil mesyuarat Majid Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Malam tadi, Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin secara peribadi berharap parti itu dapat menjalinkan kerjasama dengan parti lain khususnya PAS dan BERSATU bagi merebut kerusi di Melaka.

Mengulas perkara itu, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penolakan UMNO untuk bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka tidak lebih kepada pandangan peribadi beberapa pemimpin itu.

Tegasnya, Bersatu sentiasa membuka pintu rundingan dan bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja di luar sana, selagi ia tidak merosakkan agama, bangsa dan tanah air.

“Setakat hari ini saya adalah barisan kabinet yang dipimpin oleh seorang dari UMNO. Kami bermesyuarat dengan baik, membuat keputusan secara bersama, mempertahankan keputusan-keputusan yang telah kami buat secara bersama dan ini akan kami teruskan.

“Jadi nak menjawab kepada soalan itu, kebanyakan pemimpin di atas sana tak ada masalah untuk bekerjasama.

“Mungkin ada satu dua orang yang tak mahu bekerjasama,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Hari Sukan Negara peringkat daerah Alor Gajah, Melaka, hari ini.

PRN Melaka bakal diadakan selepas empat ADUN termasuk dua daripada UMNO mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan negeri dan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here