Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bomba selamatkan warga emas dan pemandu terperangkap dalam banjir kilat -

Bomba selamatkan warga emas dan pemandu terperangkap dalam banjir kilat

SEORANG lelaki warga emas dan pemandunya diselamatkan bomba selepas kereta mewah jenis Bently dinaiki mereka terkandas akibat banjir kilat di persimpangan Cheng berhadapan Taman Cheng Perdana, Melaka, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah Pegawai Bomba Kanan II Zulkifli Mohd Ali berkata kejadian berlaku kira-kira 7 pagi dengan kedua-dua lelaki berusia 80-an dan 30-an itu didapati terkandas dalam banjir sedalam satu meter.

Zulkifli berkata selain mereka, pihaknya turut menyelamatkan sebuah Proton Wira dan Proton Iswara yang ditinggalkan di laluan berkenaan selepas pemandunya keluar menyelamatkan diri.

“Bomba menerima panggilan kira-kira 7.25 pagi dan tiba di lokasi itu lima minit kemudian. Operasi menyelamat melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba Melaka Tengah.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati air telah naik kira-kira sedalam satu meter dan terdapat dua mangsa termasuk seorang warga emas yang tidak dapat berjalan di dalam sebuah kereta Bentley,” katanya yang dihubungi hari ini. 

Beliau berkata ketiga-tiga kenderaan terlibat ditolak ke tempat yang selamat sebelum operasi tamat sepenuhnya kira-kira 8.49 pagi. – BERNAMA