Lebih baik UMNO bergabung hadapi PRN Melaka: Zahidi Zainul

0
236

AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berharap UMNO dapat menjalinkan kerjasama dengan parti lain khususnya PAS dan BERSATU bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam membuat keputusan.

“Saya secara peribadi berharap agar UMNO dapat berpakat dengan PAS, BERSATU dan parti lain dalam PRN Melaka ini supaya dapat kekal berkuasa dan terus membantu rakyat.

“Kita perlu berpakat terutama parti Melayu dan sekiranya kita berpecah, kita akan kehilangan kuasa untuk membantu rakyat.

“Dalam Islam juga kita dituntut untuk berpakat dan bermusyawarah membentuk kerjasama dalam menyelesaikan masalah,” katanya.

Ahli Parlimen Padang Besar itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyerahan Surat Tawaran Dana serta Sumbangan Keluarga Malaysia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sempena Program Komuniti @FINAS (KoFI) 2021 di Kangar, semalam.

Zahidi berkata, ketika ini MKT UMNO sebulat suara untuk tidak berpakat dengan mana-mana parti kerana lebih senang bergerak sendiri.

“Sama ada mampu atau tak mampu, ini adalah keputusan yang dibuat masa Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, namun kita tidak tahu dalam masa terdekat sekiranya terdapat perubahan dalam keputusan berkenaan dan terpulang kepada Presiden untuk menentukannya,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here