Pemandu bas maut dalam kemalangan 4 kenderaan

0
285

SEORANG pemandu bas henti-henti maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Sendayan Lama berhampiran Kampung Jimah, Seremban Negeri Sembilan hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata kejadian membabitkan bas henti-henti, treler, kenderaan pacuan empat roda dan motosikal itu menyebabkan pemandu bas berusia 56 tahun tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan dada manakala pemandu treler cedera di mata.

Beliau berkata kemalangan kira-kira 9 pagi itu dipercayai berlaku apabila pemandu treler berusia 30 tahun yang datang dari arah Nilai menuju Springhill, Sendayan hilang kawalan ke atas kenderaannya itu lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar bas henti-henti tersebut.

“Kejadian kemudian menyebabkan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang berada di belakang bas telah terlanggar bahagian kanan bas manakala motosikal jenis Modenas Kriss yang datang dari arah sama pula melanggar Mitsubishi Triton tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Said berkata pemandu Mitsubishi Triton dan penunggang motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat pemandu bas itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat. 

Beliau berkata kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here