[VIDEO] Dua mangsa rentung disahkan suami isteri

0
299

DUA mangsa rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kereta Myvi di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah awal pagi tadi disahkan pasangan suami isteri. 

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, pemandu kenderaan itu disahkan sebagai Lim Gi Ying, 21, berdasarkan akuan daripada waris. 

Beliau berkata, penumpang hadapan kereta itu yang turut terkorban adalah isteri mangsa, Tan Sun Wen, 19.

“Pasangan itu dipercayai tidak bekerja dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pejabat Pertanyaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, menerima maklumat mengenai kemalangan jalan raya di lokasi kejadian pada jam 3.15 pagi yang membabitkan sebuah kereta dipercayai terbabas di persimpangan lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta itu dipercayai bergerak dari lampu isyarat Tesco Mergong ke arah lampu isyarat Raden.

Namun, menurutnya, kereta terbabit dipercayai gagal dikawal ketika menghampiri lampu isyarat lalu terbabas ke kiri pembahagi jalan.

Seterusnya, tambah beliau, kereta itu melanggar tiang papan tanda di kiri jalan dan terbabas ke kanan laluan utama.

“Kenderaan itu kemudian terhenti di lorong kanan arah yang sama dan terbakar di tempat kejadian.

“Pasangan itu disahkan meninggal dunia dan terbakar dalam kenderaan di tempat kejadian,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, identiti mangsa di tempat duduk pemandu disah berdasarkan maklumat daripada waris, manakala MyKad isterinya pula ditemui dalam beg pada badan penumpang hadapan.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here