Op kenderaan berat JPJ Pulau Pinang keluarkan 136 saman dalam 4 hari

0
447

HANYA dalam tempoh pelaksanaan empat hari, OP Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang berjaya mengeluarkan sebanyak 136 saman bernilai RM40,800.

Saman itu membabitkan kesalahan utama tidak memiliki lesen memandu biasa (CDL) iaitu sebanyak 35 kes dan 29 kes tidak memiliki lesen memandu kenderaan barangan (GDL).

Malah, dua buah lori juga didapati telah tamat cukai jalan serta tidak memiliki insurans kenderaan namun masih bebas digunakan pemandu serta pemiliknya.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, operasi yang diadakan sejak Isnin lalu melibatkan pemeriksaan ke atas beberapa jenis kenderaan berat antaranya lori sampah, lori membawa mesin atau jentera berat serta trak tunda.

Dalam operasi itu jelas beliau, pihaknya memeriksa sebanyak 358 kenderaan terbabit secara keseluruhan dengan 102 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Selain itu, sebanyak 88 notis lain iaitu Notis Arah Periksa Kenderaan di bawah Seksyen 61(1) dan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (Notis PG1) turut dikeluarkan pihaknya kepada pemilik kenderaan terbabit sepanjang operasi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas turut menyertai operasi sama di Nibong Tebal hari ini.

Dalam pada itu Adenan berkata, terdapat pemandu warga tempatan yang ditahan didapati tidak memiliki lesen memandu sekali gus tidak dibenarkan meneruskan perjalanan sehingga diganti pemandu lain.

Tegasnya, tindakan pemandu tanpa lesen itu adalah kesalahan serius dan boleh membahayakan mereka sendiri serta orang lain sekiranya berlaku kemalangan.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada majikan supaya tidak sewenang-wenangnya menggajikan pemandu lori yang tidak mempunyai lesen memandu dan lesen GDL selain memastikan kenderaan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here