PKR Johor sasar 28 kerusi DUN pada PRU-15

0
257

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Johor menyasarkan sekurang-kurangnya 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, 28 daripada 56 kerusi DUN itu sudah dikenal pasti yang semuanya kerusi bersifat campuran berdasarkan pola penduduk berbilang kaum.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata, antara kawasan yang akan diletakkan calon seperti di DUN Kempas, Larkin dan Permas Jaya.

“(Namun) soal pengagihan kerusi ini masih terbuka, belum peringkat putuskan mana-mana parti tetapi kita lihat PKR ada potensi dan kelebihan sebagai parti pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Peduli di Ibu Pejabat PKR Johor, Pusat Perdagangan Danga Utama di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu.

Syed Ibrahim berkata, PKR akan berunding dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri ini terlebih dahulu melibatkan pembahagian kerusi dan sasaran PKR itu selepas melihat kemampuan untuk menang di kerusi campuran tersebut.

Syed Ibrahim Syed Noh

“Sebenarnya daripada segi kemenangan ini perlu dilihat secara menyeluruh, jika kerusi itu tradisinya adalah kerusi campuran ia perlu diberi kepada parti yang boleh mewakili pelbagai kaum, potensi untuk menang lebih besar.

“Dalam situasi pertandingan tiga atau empat penjuru, situasi berkenaan merupakan peluang terbaik untuk PKR terutamanya,” ujarnya.

Menurutnya, PKR Johor sudah menggerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi PRU-15 sejak dua tahun lalu walaupun dalam suasana Covid-19 dan dalam keadaan PH telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan, persediaan tetap perlu dilakukan.

“Ini kerana kita tidak dapat menjangkakan bilakah PRU-15 itu akan diadakan, buat masa ini boleh dikatakan jentera PKR Johor telah 80 peratus bersedia untuk menghadapi PRU-15,” ujarnya.

Mengenai penggunaan logo yang akan digunakan PH pada PRU-15 di Johor, pihaknya bersedia mengikut ketetapan dibuat Majlis Presiden PH.

“Buat masa ini, masih belum ada ketetapan yang dibuat, daripada sudut PKR pastinya kami mahu mengekalkan penggunaan logo PKR seperti yang digunakan dalam PRU lalu, namun kami akan akur dengan keputusan, tiada masalah.

“Saya tidak melihat isu ini sebagai satu isu besar, saya juga tidak rasa ianya satu perkara yang boleh menyebabkan kita berbalah,” ujarnya,” ujarnya mengulas kenyataan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP Johor yang tidak bersetuju cadangan PKR Perlis untuk menggunakan logo PKR dan mahu lambang PH digunakan dalam PRU-15. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here