[VIDEO] 111 tapir mati dilanggar ketika melintas jalan

Populasi Tapir semakin terancam akibat pencerobohan habitat asal

0
444

SETIAP tahun, hampir 20 ekor spesis haiwan terancam, Tapir atau nama saintifiknya, Tapirus Indicus mati akibat dilanggar kenderaan di jalan raya.

Sepanjang tempoh lima tahun sejak 2015 hingga 2020, sebanyak 92 ekor tapir mati akibat kemalangan jalan raya sekaligus mencetuskan kebimbangan mengenai populasi haiwan ini.

Pembangunan pesat, pencerobohan habibat asal serta pembukaan kawasan perumahan menjadi punca utama tapir terpaksa masuk ke kawasan penempatan dengan risiko tinggi dilanggar kenderaan ketika melintas jalan.

Mengulas mengenai situasi itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ketika ini, populasi tapir yang ada cuma dianggarkan antara 1,000 hingga 1,500 ekor. 

“Jumlah tapir yang dilanggar mati pada tahun ini adalah sebanyak 19 ekor sejak Januari hingga September 2021,” katanya kepada SatuBerita. Ini bermakna, sebanyak 111 ekor tapir direkodkan mati akibat dilanggar kenderaan sejak 2015 sehingga ke hari ini. 

Abdul Kadir berkata, pembangunan seperti pembukaan hutan untuk pertanian dan perladangan, pembinaan empangan, jalan dan lebuhraya serta penempatan penduduk menyebabkan masalah primer iaitu kawasan habitat tapir mengecil dan terpisah-pisah.

“Ia seterusnya menimbulkan masalah sekunder, iaitu peningkatan ancaman seperti pelanggaran di jalan raya, terkena jerat pemburu haram, konflik dengan manusia, masalah demografik dan genetik apabila  populasi menjadi kecil dan terpisah di kawasan hutan fregmentasi,” katanya.

Berikutan itu, katanya tindakan segera perlu dilakukan bagi mengawal spesis ini daripada terancam atau pupus.

“Antara cadangannya ialah meningkatkan program konservasi secara in-situ dan ex-situ, termasuk meningkatkan kawalan habitat semula jadinya, serta jumlah pembiakan dalam kurungan untuk pelepasan semula ke habitat semulajadi,” katanya. 

Selain itu, beliau juga mencadangkan untuk menjalankan kajian trend populasi di hutan perlindungan fregmantasi dan menangkap serta memindah tapir yang terancam populasinya di habitat fregmantasi.

“Kita perlu menyediakan pelan tindakan konservasi tapir untuk 10 tahun akan datang dan menjalankan penyelidikan dalam bidang teknologi pembiakan tapir,” katanya.

Masalah yang sama berlaku di negara lain dan berdasarkan statistik AZ Animals sehingga Mei lalu, dianggarkan hanya 3,000 hingga 4,500 tapir yang masih hidup di seluruh dunia.

Info: Kes tapir mati dilanggar kenderaan

1) 19 Jun 2021: Seeokor tapir cedera dan patah kedua-dua kaki belakang dipercayai dilanggar di di Kilometer 26, Jalan Dungun-Bukit Besi dekat Kampung Pinang Mas, Dungun, Terengganu.

2) 15 Jun 2021: Seekor tapir jantan yang keluar daripada habitatnya untuk mencari makan ditemui mati, dipercayai dilanggar pada jam 10.20 malam di Jalan Bukit Aping-Kangkar Papan, Kota Tinggi, Johor. 

3) 31 Januari 2021: Seekor tapir jantan seberat 450 kilogram (kg) ditemui mati di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kelantan dipercayai dilanggar dan ditemui penduduk Kampung Felda Chiku pada jam 7.45 pagi.

4) 5 Jan 2020: Seekor Tapir Malaya betina seberat 200 kilogram berusia antara lima hingga enam tahun ditemui mati di Batu 20, Jalan Kota Tinggi-Mersing, Johor dipercayai akibat dilanggar kenderaan berat. 

5) 25 Feb 2020: Seekor tapir betina dianggarkan seberat 300 kilogram (kg) mati dilanggar kenderaan di tepi Lebuh Raya Segamat-Kuantan berhampiran persimpangan FELDA Pemanis, Segamat, Johor.

6) 15 November 2020: Seekor tapir seberat 50 kilogram mati dilanggar di Kampung Sri 10, Jalan Sungai Durian-Chenulang, Kuala Krai, Kelantan sekitar jam 10 malam semalam, dipercayai keluar mencari makanan.

7) 1 Feb 2018: Seekor tapir jantan dewasa seberat 250 kilogram ditemui mati dilanggar kenderaan ketika melintas jalan di Jalan Budu-Dong, dekat Kampung Tualang Padang, Raub, Pahang.

8) 17 Feb 2017: Seekor tapir ditemui mati berdekatan jalan masuk ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kampung Labuhan Kerteh, Chukai, Terengganu 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here