Hutang kerajaan RM957.3 bilion

0
362

JUMLAH hutang Kerajaan Persekutuan hingga akhir Julai lalu adalah sebanyak RM957.3 bilion ringgit atau 62.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, berkata dalam pengurusan hutang, kerajaan sentiasa mematuhi had statutori yang ditetapkan dalam akta berkaitan hutang mengikut jenis instrumen.

Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB), semuanya mencatat 58.7 peratus daripada KDNK, iaitu masih di bawah had statutori 60 peratus KDNK yang ditetapkan dalam Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019-COVID-19) 2020.

Selain itu, hutang Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) pada akhir Julai 2021 berjumlah RM8 bilion, tidak melebihi had RM10 bilion yang ditetapkan di bawah Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946. Hutang luar pesisir berjumlah RM31 bilion pula masih di bawah had RM35 bilion yang ditetapkan dalam Akta Pinjaman Luar Negeri (1963).

Tengku Zafrul berkata, antara langkah yang akan diambil untuk meringankan beban hutang kerajaan ialah melaksanakan reformasi fiskal.

Antara lain, ini termasuk cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana untuk memacu langkah konsolidasi fiskal pasca krisis.

“Inisiatif ini akan mewujudkan ruang fiskal yang mencukupi dan memastikan hutang negara sentiasa berada pada paras terurus dalam tempoh jangka sederhana dan jangka panjang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-PONTIAN) yang mahu tahu jumlah hutang kerajaan dan kadar defisit yang dihadapi negara ketika ini dan apakah kaedah yang perlu diambil untuk meringankan hutang negara, menambah pendapatan negara dan memastikan ekonomi tumbuh dengan baik.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus berusaha memperkukuh dan memaksimumkan kutipan hasil Kerajaan Persekutuan serta meningkatkan keapungan cukai melalui inisiatif pembaharuan cukai.

Antara langkah yang diumumkan semasa Belanjawan 2021 adalah cukai ke atas rokok elektronik dan vape serta penubuhan Multi-Agency Task Force dengan penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional bagi menambah baik kutipan hasil melalui pembasmian aktiviti penyeludupan terutama barangan berduti tinggi.

Kerajaan juga akan menggubal Strategi Hasil Jangka Sederhana dengan mengkaji dan menambah baik sistem percukaian sedia ada, memperluas asas hasil, memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan terkurang lapor dan isytihar, mengurangkan ketirisan cukai serta menambah baik pentadbiran cukai melalui pengurusan data yang berkesan dan mengintegrasi data dengan agensi berkaitan.

Mengenai defisit, beliau berkata, ia diunjurkan sebanyak 5.4 peratus berbanding KDNK tahun ini berdasarkan jangkaan ekonomi akan berkembang pada kadar 6 peratus hingga 7.5 peratus.

Bagaimanapun, susulan gelombang ketiga penularan COVID-19, kerajaan telah melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, setelah mengambil kira kesan pelaksanaan PKP dan suntikan fiskal terhadap beberapa pakej pemulihan ekonomi termasuk PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA+ dan PEMULIH, paras defisit fiskal 2021 disemak semula dan dijangka meningkat kepada sekitar 6.5 peratus hingga 7 peratus daripada KDNK.

Selain itu, unjuran pertumbuhan ekonomi tahun 2021 telah disemak semula pada bulan Ogos 2021 kepada antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus berbanding anggaran awal iaitu antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus pada bulan Mac 2021. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here