Sheriff malukan Real Madrid, cipta kejutan terbesar Liga Juara-Juara

0
277

SHERIFF Tiraspol merakam kejutan paling besar dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah apabila menewaskan Real Madrid 2-1 di Santiago Bernabeu, dengan Sebastian Thill meledak gol kemenangan pada minit ke-89.

“Bagi kami ia adalah impian menjadi kenyataan untuk menang di sini. Kami amat gembira dan menikmatinya.

“Kami datang ke sini untuk menang. Kami bukan datang untuk duduk saja. Kami tahu betapa bagusnya pemain-pemain kami dan mujur Madrid tidak memanfaatkan peluang mereka dan kami mengambilnya,” kata pengendali Sheriff Frank Castaneda.

Madrid ketinggalan hasil tandukan Jasurbek Yakhshiboev di babak pertama tetapi Karim Benzema menyempurnakan sepakan penalti sebelum Thill meledak gol kemenangan.

“Ia adalah gol terbaik dan paling penting dalam karier saya, itu sudah pasti. Kami begitu berani dengan cara kami bermain dan saya bernasib baik dapat menjaringkan gol kemenangan,” kata Thill.

Benzema merakam rekod baharu apabila menjaringkan gol dalam kempen ke-17 berturut-turut Liga Juara-Juara – rekod yang hanya bertahan beberapa minit sebelum Lionel Messi menjaringkan gol pertamanya untuk Paris Saint-Germain.

Kemenangan itu mencerahkan peluang buat Sheriff untuk mara ke pusingan seterusnya selepas mengutip enam mata daripada dua perlawanan Kumpulan D. Mereka menewaskan Shakhtar Donetsk pada aksi pembukaan.

“Perlawanan seperti ini apabila anda menguasai sepenuhnya, ia ditentukan oleh faktor-faktor yang lebih halus dan ia memberi padah kepada kami.

“Sepakan sudut, kekasaran bodoh – ia merugikan anda dan kini kami bercakap tentang kekalahan yang tidak sepatutnya berlaku,” kata pengendali Madrid Carlo Ancelotti.

Sheriff, ditubuhkan pada tahun 1997, menguasai bola sepak Moldova tetapi ini adalah kali pertama mereka mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah. – BH Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here