Penganggur ditahan bersama heroin bernilai RM61,500

0
237

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang menahan seorang penganggur yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas 4.59 kilogram heroin bernilai RM61,573 dalam serbuan di dua lokasi berbeza di negeri itu.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSN) Pulau Pinang di tepi Jalan Tun Hussein On, Seberang Jaya dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, ketika ditahan polis turut merampas dua bungkusan dadah jenis heroin seberat 907 gram bersama-sama suspek.

Susulan penahanan suspek katanya, polis menyerbu tapak parkir di sebuah kondominium di Golden Triangle di Relau, Bayan Lepas dan menjumpai lapan bungkusan dadah yang disimpan di dalam sebuah kereta jenis Chevrolet.

Ujar beliau, lelaki itu dipercayai aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak lima bulan lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas tersebut boleh digunakan seramai 22,957 orang jika terlepas ke pasaran.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methapetamine selain suspek turut mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.

Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here