Tujuh operator judi dalam talian ditahan

0
369

Oleh RAHIMI MOHAMAD

POLIS menumpaskan kegiatan perjudian dalam talian setelah menahan tujuh suspek membabitkan ahli sindiket permainan tersebut di sebuah kediaman di Kota Persiaran Southkey, Johor Bahru, baru-baru ini.

Dalam serbuan itu, enam suspek lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 18 hingga 34 tahun itu dipercayai berperanan sebagai operator tambah nilai kredit dan cuci kredit bagi permainan judi dalam talian.

Ketujuh-tujuh suspek warga tempatan itu juga bertanggungjawab untuk berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan berkaitan hal perjudian tersebut setiap hari.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket perjudian terbabit dipercayai mempunyai pelanggan yang dianggarkan seramai 7,000 orang terdiri daripada rakyat tempatan dengan nilai transaksi harian antara RM15,000 hingga RM20,000.

“Berdasarkan siasatan, kesemua suspek yang juga warga tempatan mengaku menerima bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan dan komisen satu peratus.

“Sindiket tersebut mempromosikan kegiatan perniagaan mereka melalui dua laman sesawang iaitu www.topup99.com dan www.lagiong.com,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, serbuan pada Khamis lalu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas enam set komputer, 35 telefon bimbit, dua modem wifi dan serangkai kunci rumah.

Ujar Ayob Khan, kesemua suspek direman selama satu hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Sejak 1 Ogos hingga 25 September lalu, Polis Johor telah membuat lima serbuan dan pemeriksaan menerusi Op Dadu iaitu tiga di kawasan Johor Bahru manakala dua lagi di Iskandar Puteri.

“Daripada serbuan tersebut, seramai 28 suspek telah ditahan melibatkan 20 lelaki dan lapan wanita warga tempatan,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak lima kertas siasatan telah dibuka dan kini dalam proses untuk dilengkapkan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk pertuduhan di mahkamah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here