Ku Li letak jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO

Persoalkan kemampuan UMNO menangi PRU15

0
221

PENGERUSI Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa serta merta.

Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam surat perletakan jawatannya yang dihantar kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin, 20 September turut menyuarakan keraguan beliau terhadap kemampuan parti untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang menggantikan kerajaan telah direstui pimpinan UMNO walaupun orang ramai serta akar umbi menzahirkan kekecewaan mereka kerana hampir semua jawatan dipenuhi oleh mereka yang ‘gaga’.

“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan dalam PRU15 dan akhiri Parlimen yang tergantung?” katanya.

Dalam pada itu, Razaleigh yang lebih mesra dipanggil Ku Li turut mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana memberikan peluang kepada beliau untuk memainkan peranan ‘kecil’ di dalam UMNO.

Pada Julai, Ku Li yang merupakan Ahli Parlimen UMNO memohon agar tempat duduk beliau dalam Dewan Rakyat diletakkan berhampiran blok Bebas.

Dalam satu surat bertarikh 26 Julai kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, beliau memberi alasan memohon pertukaran tempat duduk kerana tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dari awal lagi saya tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh yang mengguna nama kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya belum mengetahui sama ada anggota-anggota Dewan Rakyat yang lain daripada parti saya telah berurusan dengan YB Tuan Yang di-Pertua mengenai tempat duduk mereka dalam Dewan Rakyat.

“Walau apa pun yang dilakukan oleh mereka ini saya dengan suka hati mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan Barisan Nasional/UMNO terutama sekali pengundi saya, ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong kerajaan gagal ini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here