Mangsa kes seleweng babit pegawai SPRM tidak buat laporan polis

0
234

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi menegaskan pihaknya tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) milik seorang individu yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata setakat ini mangsa atau pemilik wang berkenaan iaitu bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid, tidak membuat laporan polis.

“Sehingga kini kita (polis) tidak menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan seperti yang saya jelaskan dalam kenyataan siaran media semalam.

“Justeru pada masa ini tidak dapat disahkan sama ada benarkah wujud kes curi dalam kejadian ini disebabkan mangsa sendiri tidak membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Rawang, di sini, hari ini.

Abd Jalil kata dakwaan berlaku kecurian wang barang kes AS$6 juta dalam kes ini hanya didedahkan oleh sebuah laman blog menggunakan nama ‘Edisi Siasat’ dan pihak polis sedang berusaha mengesan pengendali dan pemilik laman terbabit.

“Pada masa ini pihak kami sedang mengesan pengendali laman blogspot Edisi Siasat ini untuk mendapatkan maklumat serta menjalankan siasatan lanjut dan tindakan menyebar dan menularkan maklumat tidak benar adalah salah dan boleh disiasat.

“Sekiranya siasatan kes berkenaan membabitkan agensi atau jabatan kerajaan lain maka saya sarankan pihak media merujuk kepada jabatan berkenaan,” katanya.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap bekas seorang ketua jabatan.

SPRM berkata ketiga-tiga pegawainya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here