Peragut malang dilanggar suami mangsa

0
230

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SEORANG peragut ditimpa nasib malang, apabila motosikal ditunggangnya dilanggar suami mangsa di Kampung Binjai, Kota Bharu, Kelantan awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.45 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun baru turun dari bas ekspres dan sedang menunggu suami datang mengambilnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, kejadian berlaku ketika mangsa yang baru tiba dari Negeri Sembilan menunggu suaminya di tepi jalan di persimpangan Kedai Piah.

Menurut beliau, tiba-tiba datang seorang lelaki dengan menunggang motosikal terus meragut beg tangan mangsa.

Katanya, secara kebetulan suami mangsa yang memandu kereta ketika itu tiba di lokasi kejadian dan sebaik melihat kejadian itu, dia bertindak melanggar motosikal suspek, tetapi lelaki itu cuba melarikan diri.

“Selepas itu berlaku pergelutan antara suspek dan suami mangsa, sebelum suspek berjaya ditahan dengan bantuan dua orang awam yang melalui di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurut Abdul Rahim,mangsa wanita tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala suaminya pula hanya luka di telinga kiri ekoran pergelutan dengan suspek.

Beliau berkata, ekoran kejadian berkenaan, suspek berusia 29 tahun itu luka di bahagian tangan dan lutut, lalu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Katanya, hasil pemeriksaan beg pinggang milik suspek yang berasal dari Pulai Chondong, Machang itu turut menemui satu paket lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah.

“Selelas ujian saringan dibuat, mendapati suspek positif dadah jenis Methampethamine di samping memiliki 14 rekod lampau bersabit dadah dan jenayah.

Tambahnya, permohonan reman telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here