15 PATI warga China, Indonesia ditahan dalam Op Benteng

0
248

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TENTERA Darat Malaysia (TDM) menahan 15 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Warga China dan Indonesia dalam Op Benteng di di tepi pantai Jalan Tanjung Balau, Sedili Kecil (Bio-Desaru), Kota Tinggi malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, anggota petugas pos pemerhati telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan sedang merapati ke pantai sekitar kawasan Bio-Desaru pada pukul 11 malam.

15 PATI China dan Indonesia ditahan selepas anggota petugas pos pemerhati mengesan pergerakan bot yang mencurigakan sedang merapati ke pantai sekitar kawasan Bio-Desaru

“Hasil maklumat tersebut, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi melaksanakan penjejakkan.

“Menerusi serbuan pada pukul 11.30 malam berjaya menangkap 15 individu dipercayai PATI sedang bersembunyi di tepi pantai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiga daripada 15 PATI yang ditahan sedang bersembunyi di tepi pantai

Katanya, 15 individu PATI itu terdiri daripada lima lelaki warga China bersama-sama lima lelaki dan lima wanita Warga Indonesia yang berusia antara 21 hingga 42 tahun dipercayai baru saja masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah.

“Hasil siasatan lanjut mendapati lima lelaki China tersebut yang tinggal di Indonesia berhasrat untuk pulang ke China menggunakan laluan masuk menerusi Malaysia,” katanya.

Lima PATI warga China yang tinggal di Indonesia berhasrat untuk pulang ke China menggunakan laluan masuk menerusi Malaysia, turut ditahan

Tambah beliau, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,582 melibatkan matawang Indonesia IDR 7,477,000 (RM 2,186.74) bersama-sama 10 buah telefon bimbit.

Semua PATI katanya, ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

Beliau memberitahu, laporan telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here