Empat berdepan detik cemas bot karam

0
215

Oleh RIZQI ZABIDI

EMPAT nelayan berdepan detik cemas apabila bot fiber dinaiki mereka, karam setelah terlanggar objek dipercayai bongkah kayu hanyut di kedudukan 0.1 batu nautika, timur laut, Pulau Balar dekat Langkawi, semalam.

Pengarah Maritim Kedah Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 petang iaitu hanya sejam selepas nelayan berusia antara 34 hingga 59 tahun itu, turun ke laut bagi mencandat sotong.

Katanya, bot fiber tersebut mengalami kebocoran setelah terlanggar bongkah kayu berkenaan hingga menyebabkannya tenggelam.

“Selepas bot itu karam, tekong bot tersebut, Mohd. Yusoff Nawi, 57, berenang ke daratan berhampiran bagi mendapatkan liputan komunikasi untuk mendapatkkan bantuan manakala tiga yang lain berpaut pada batu di kawasan berhampiran.

Pegawai Maritim Malaysia bertanyakan sesuatu kepada empat nelayan yang diselamatkan dalam kejadian bot karam dekat Pulau Balar, Langkawi, semalam

“Sebaik bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian, sebuah bot nelayan lain turut berada di kawasan kejadian bagi membantu nelayan terlibat selepas menerima maklumat disalurkan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) kepada komuniti maritim,” katanya dalam satu kenyataan di Kedah, hari ini.

Mohd. Zawawi menambah, kesemua mereka yang terlibat kemudiannya dibawa menaiki bot Perkasa 1225 Maritim Malaysia dan diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut.

“Operasi carilamat kemudiannya tamat kira-kira pukul 11 malam tadi,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here