Kes samun RM170,000 selesai kurang 24 jam

0
508

KES samun ke atas seorang warga emas membabitkan kerugian barang kemas bernilai RM170,000 berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam selepas polis menahan empat lelaki tempatan, semalam dan awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata terdahulu wanita berusia 63 tahun itu dilaporkan disamun di rumahnya di Kampung Berangan, di sini, pada pukul 10 pagi semalam (13 Sept). 

“Dalam kejadian itu, dua suspek memakai topi keledar dengan bersenjatakan dua bilah parang memasuki rumah mangsa dan seorang daripadanya bertindak meletakkan parang di leher warga emas itu sambil mulutnya ditekup dengan tangan.

“Mereka bertindak mengambil barang kemas yang dipakai mangsa iaitu seutas rantai leher bernilai RM90,000, gelang tangan emas kait tiga bernilai RM20,000 dan gelang tangan emas kait dua bernilai RM60,000,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Balai Polis Palekbang, di sini hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat membuat serbuan di empat lokasi bermula 7.30 malam.

Shafien berkata hasil operasi tersebut polis menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 35 hingga 41 tahun di Tumpat, Kota Bharu dan Kok Lanas.

“Polis turut merampas enam telefon bimbit, tiga resit transaksi pindahan wang, sekeping kad bank dan dua utas gelang emas yang disamun.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada lelaki tersebut pernah tinggal berjiran dengan menyewa rumah berdekatan rumah warga emas itu dan bertindak menjalankan pengintipan sebelum menyamun,” katanya.

Shafien berkata kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Mahkamah Majistret Tumpat mengeluarkan perintah reman terhadap keempat-empat lelaki tersebut selama enam hari bermula hari ini hingga 19 Sept bagi membantu siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here