KPDNHEP keluarkan 181 notis kepada peniaga di Johor

0
412

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sudah melakukan pemeriksaan melibatkan 10,165 premis yang dikesan menaikkan harga barang di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga kelmarin.

Menurut Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro, pemeriksaan itu melibatkan 8,667 peruncit, 1,195 pemborong dan 303 pengilang.

“Susulan pemeriksaan yang dilakukan itu, sebanyak 181 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku.

“Peniaga yang didapati melakukan aktiviti mencatut boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011 yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali; bagi kesalahan kedua didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM1,000,000 bagi kesalahan kali kedua,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDNHEP Johor mengeluarkan 12 notis terhadap peniaga, pemborong dan peladang di negeri ini kelmarin bagi mendapat maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga ayam.

Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 itu katanya, selepas melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan iaitu di pasar awam dan pasar basah di negeri ini.

“Sebanyak 12 notis itu dikeluarkan kepada masing-masing empat peniaga ayam, peladang dan pemborong bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Pemeriksaan akan diteruskan bagi menyiasat secara menyeluruh terhadap semua kos yang terlibat berhubung kenaikan harga yang berlaku,” KPDNHEP Johor mengambil maklum aduan berkenaan kenaikan harga ayam terutama di pasar awam dan pasar basah,” katanya.

Justeru katanya, pemeriksaan ke atas semua jenis pasar berkenaan katanya, akan dipertingkatkan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here