The Pocket Rocketman terharu terima kurniaan TMJ

0
331

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terharu menerima kurniaan ganjaran secara peribadi oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berikutan kejayaan di Olimpik Tokyo 2020 yang lalu.

Menerusi hantaran dalam Facebook rasmi milik Tunku Ismail, penganugerahan tersebut diberikan selepas beliau menerima mengadap pelumba basikal trek profesional itu, semalam.

Penganugerahan tersebut diberikan oleh Tunku Mahkota Johor itu atas pencapaian atlet yang mendapat jolokan ‘The Pocket Rocketman’ yang menuai pingat perak di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini.

“Tunku Ismail terima mengadap Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik pada hari ini (semalam) di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Ia bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian beliau di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini. Allah Peliharakan Sultan,” tulis status berkenaan.

Sementara itu menerusi hantaran dalam Facebook Azizulhasni, beliau berterima kasih atas jemputan berkenaan yang memberikannya peluang berkongsi pengalaman dan menyampaikan idea bagi pembangunan sukan berbasikal di Johor.

“Menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor di atas perkenan mencemar duli menjemput patik bersama Datuk Qobin untuk mengadap Tunku di ibu pejabat JDT.

“Patik amatlah terharu dan seperti bermimpi disiang hari kerana dapat bersama-sama dengan Tunku dan berkongsi pengalaman serta kejayaan di Olimpik Tokyo baru-baru ini.

“Patik juga menjunjung kasih di atas kesudian Tunku untuk mendengar idea dan pandangan patik dalam membangunkan arena sukan negara terutamanya sukan berbasikal di Negeri Johor,” tulis jaguh berbasikal negara itu.

Tulis Azizulhasni lagi, beliau berharap agar apa yang dihasratkan dapat dijadikan realiti dan dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga sukan terutamanya mereka yang berada di negeri Johor.

Azizulhasni turut menjunjung kasih atas hadiah peribadi daripada Tunku Ismail ketika mengadap Tunku Mahkota Johor itu.

“Patik akan ingat sampai bila-bila. Semoga Allah memurahkan rezki dan merahmati Tunku serta seluruh kerajaan Tunku,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here