Semakin ramai bantah nyahwarta HSKLU

Gabungan aktivis alam sekitar pula gesa tarik semula nyahwarta HSKLU

0
328

HASRAT kerajaan Selangor untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) terus dibantah.

Terkini, bantahan dinyatakan oleh Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (GHSKLU) yang turut menuntut agar kerajaan Selangor menarik semula keputusan menyahwartakan 536.7 hektar HSKLU dengan serta-merta.

Gabungan Pertahan HSKLU itu dianggotai 15 NGO termasuk Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera, Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam.

Wakil masyarakat Orang Asli HSKLU yang menyertai gabungan tersebut, Shaq Koyok mendakwa sesi pendengaran awam mengenai penyahwartaan yang diadakan pada Nov lalu dilaksanakan secara tergesa-gesa, di mana notis makluman hanya diberikan empat hari sebelum sesi itu.

Katanya, ia menyebabkan ramai komuniti Orang Asli tidak dapat menyertainya.

“Tempat yang ditetapkan juga agak jauh iaitu di Pulau Carey, dan ia menyukarkan kami untuk ke sana.

“Masih belum terlambat untuk menyelamatkan hutan yang masih ada, dan saya percaya tiada individu yang akan menentang keputusan pusingan “U” berkenaan,” katanya.

Terdahulu beliau bersama beberapa wakil NGO menyerahkan memorandum dan penyerahan “Poskad Dari Esok” kepada Menteri Besar Selangor supaya membatalkan penyahwartaan HSKLU.

Beliau mendakwa bantahan daripada komuniti Orang Asli terhadap kerajaan negeri sejak Februari dibalas dengan pelbagai ugutan termasuk rumah mereka akan dibakar dan tanah kampung sedia ada akan dirampas jika terus menentang.

“Beberapa ketua kampung ditekan untuk menandatangani satu surat yang membuktikan mereka menarik sokongan sekiranya kampung mereka diwartakan semula sebagai rizab Orang Asli.

“Bagaimanapun, ketua kampung dan komuniti Orang Asli masih meneruskan bantahan penyahwartaan hutan berkenaan sejak 18 bulan lalu,” katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan kerajaan negeri meluluskan penyahwartaan 536.7 hektar HSKLU pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, pengumuman berkenaan mengejutkan pelbagai pihak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri sudah mengarahkan Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR negeri Amirudin Shari, memperjelas tindakan penyahwartaan HSKLU kepada pucuk pimpinan parti berkenaan.

Selain itu, kumpulan penyokong Anwar, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN) melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar hutan berkenaan, untuk dibangunkan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here