18 PATI baru mendarat ditahan dalam Op Benteng

0
277

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAMAI 18 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan dalam Op Benteng menerusi beberapa tangkapan di kawasan Teluk Ramunia, Bandar Penawar, Kota Tinggi dari malam tadi hingga pagi ini.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Tentera Darat Malaysia (TDM) dimaklumkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pukul 9 malam selepas mengesan pergerakan bot mencurigakan di Teluk Ramunia.

Antara PATI yang berjaya ditahan dalam tiga tangkapan membabitkan semuanya warga Indonesia

“Mereka dikesan menerusi Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) sebelum pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) dihantar ke lokasi bagi membuat pengintipan. Hasil serbuan pada pukul 11.30 malam berjaya menangkap 3 PATI sedang bersembunyi dalam hutan di lokasi berkenaan.

“Pada masa yang sama agensi yang bekerjasama dalam Op Benteng iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menangkap 13 PATI bersama-sama sebuah bot di kawasan pantai sekitar Teluk Ramunia.

“Mereka kemudian dibawa ke Jeti Tanjung Pengelih dan diserahkan kepada pasukan untuk siasatan dan proses dokumentasi lanjut,” menurut kenyataan berkenaan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, menerusi operasi sama pukul 8 pagi ini, dua lagi PATI ditangkap sedang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran.

SWASLA mengersan PATI sebelum pasukan QRF dihantar ke lokasi bagi menangkap PATI sedang bersembunyi dalam hutan di Teluk Ramunia

Jelas kenyataan itu, seramai 18 PATI tersebut yang terdiri daripada 15 lelaki dan tiga wanita merupakan PATI warga Indonesia berusia 22 hingga 43 tahun dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,356 melibatkan mata wang Indonesia IDR 1,610,500.00 (RM460), 10 buah telefon bimbit dan barangan kemas,” tambah kenyataan itu.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas di Johor Bahru.

“Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” jelas kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here