Pembangkang sertai Jawatankuasa Khas pasca Covid-19 di Johor

0
570

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Khas dianggotai pembangkang bertujuan meneliti dasar sosial dan ekonomi negeri pasca Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang mengumumkan pembentukan itu berkata, pandangan semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor termasuk 27 wakil rakyat pembangkang akan diambil kira.

Malah katanya, ADUN pembangkang juga akan dibabitkan menerusi sesi taklimat dan perbincangan yang akan dilakukan pada masa akan datang termasuk gerak kerja untuk merangka Belanjawan Johor 2022.

“Kerajaan negeri juga telah menganjurkan beberapa sesi taklimat bersama wakil rakyat di Johor termasuk pembangkang sebelum ini, bagi berkongsi maklumat pentadbiran di luar takwim persidangan Dewan Negeri.

“Selain wakil kerajaan dan pembangkang, Jawatankuasa Khas ini turut dianggotai Timbalan Setiausaha Kerajaan dan Ketua-Ketua Jabatan Agensi Persekutuan dan Negeri yang berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, di Iskandar Puteri, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga bersedia untuk secara perlahan-lahan melaksanakan reformasi DUN Johor mengikut kesesuaian dan keperluan, sepertiyang dibincangkan bagi menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas di peringkat DUN pada masa hadapan.

Sementara itu, Hasni yang juga ADUN Benut berharap kerajaan Johor dibabitkan secara langsung dalam inisiatif pembukaan laluan darat yang membabitkan Tambak Johor dan Laluan Kedua (Second Link).

Katanya, kerajaan negeri sedar bahawa membuka sempadan Johor-Singapura adalah komponen asas dalam usaha pemulihan ekonomi negeri.

“Ia akan merancakkan kembali sektor peruncitan dan sektor pelancongan, selain bakal menghidupkan semula aktiviti ekonomi di bandaraya Johor Bahru dan daerah berdekatan.

“Pembukaan sempadan Johor-Singapura juga bakal mengembalikan kepesatan sektor hartanah, yang semestinya lebih rancak apabila khususnya apabila Kerajaan Persekutuan bakal melihat semula dasar berkaitan program Malaysia My Second Home (MM2H),” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here